Apa itu Kencing Manis Semasa Hamil (Diabetis Gestasi)?
Sekiranya wanita yangmengandung
disahkan menghidapi kencing manis, ia dikenali sebagai diabetis gestasi atau
kencing manis semasa hamil. Kebiasaannya setiap wanita mengandung akan
menjalani ujian diagnosis untuk mengenal pasti sama ada mereka menghadapi penyakit
ini dengan ujian Toleransi Glukosa Oral
(OGTT).
Diabetes Gestasi berlaku kerana
perubahan hormon di dalam badan akibat kehamilan. Hormon insulin yang berfungsi
untuk mengawal paras gula tidak dapat dihasilkan secukupnya oleh pankreas semasa
mengandung. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan
akan meningkat.
Pada masa yang sama hormon yang dihasilkan oleh uri bayi bagi
tujuan tumbesaran turut menghalang badan si ibu menggunakan hormon insulin
dengan efisien.
Anda tidak perlu terlalu risau sekiranya disahkan menghidapi
Diabetes Gestasi kerana ia bukanlah sesuatu yang luarbiasa. 2 hingga 14% ibu
hamil diserang penyakit ini. Gestasi Diabetis berbeza dengan Diabetis Jenis 1 dan
2 kerana kebiasaannya paras gula dalam darah akan kembali
normal selepas bersalin.
Siapakah yang berisiko untuk mempunyai Diabetis Gestasi?
- Indeks jisim badan (BMI) lebih daripada 30
- Dahulu telah melahirkan bayi yang besar dengan berat sebanyak 4kg atau lebih
- Menghadapi Diabetis Gestasi sebelum ini
- Keluarga mempunyai sejarah kencing manis (ibu atau bapa, datuk atau adik-beradik mempunyai kencing manis)
- Keluarga dari nenek moyang yang mempunyai sejarah kencing manis yang tinggi, dan ini lebih ketara jika anda dari keturunan Asia Selatan, Caribbean berkulit gelap atau Timur Tengah.
Kesan Diabetis Gestasi Kepada Bayi dan Si Ibu
Sekiranya ibu hamil tidak mengamalkan langkah penjagaan
kesihatan yang optimum, ia mampu memberikan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan terutamanya apabila paras gula
dalam darah terlalu tinggi.
Gula yang banyak di dalam darah akan merentasi plasenta ke
bayi dalam kandungan. Akibatnya, saiz bayi akan menjadi terlalu besar kerana
menerima bekalan gula yang banyak. Bayi yang besar menyukarkan proses bersalin,
dikhuatiri pembedahan caesarean terpaksa dilakukan.
Menurut kajian, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami
Diabetis Gestasi didapati cenderung untuk mendapat obesiti dan diabetis jenis
kedua apabila mereka membesar dewasa.
Tambahan itu, walaupun Diabetis Gestasi ini kebiasaannya akan
hilang selepas melahirkan, si ibu boleh mendapat diabetis mellitus jenis kedua
yang kronik sekiranya mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga dalam
mengawal paras gula dalam darah.
Rawatan untuk Diabetis Gestasi
Langkah yang terbaik untuk merawat penyakit ini sudah tentu
dengan mengubah cara pemakanan dengan lebih sesuai dan sihat.
Berikut adalah
antara tips diet sihat untuk pesakit Diabetis Gestasi:
1. Agihkan jumlah makanan sehari kepada 3
kali waktu makan utama (sarapan, makan tengahari, makan malam) dan 2 ke 3 kali
makan ringan setiap hari.
Makan terlalu banyak dalam satu masa boleh meningkatkan kadar
gula dalam darah dengan mendadak.
Sebaiknya, amalkan memakan snek seperti roti
gandum penuh, buah atau salad di antara waktu makan utama (contoh: minum pagi,
minum petang) bagi memastikan anda tidak terlalu lapar kemudian makan dengan
banyak semasa waktu makan utama. Namun demikian, pemilihan snek perlulah betul.
Dalam pada itu, jangan pernah tinggalkan waktu makan semasa mengandung
kerana bayi dan badan anda memerlukan ekstra nutrisi daripada pelbagai sumber
makanan.
2. Makan daripada kumpulan kanji pada kadar
yang betul
Kadar yang betul itu bermaksud, lebih kurang 2-3 senduk nasi
(rata) atau 2 keping roti. Banyakkan jumlah sayur di dalam pinggan kerana serat
pada sayur boleh menjadikan anda kenyang lebih cepat dan lebih lama.
Makanan daripada kumpulan kanji seperti nasi, mi, roti, atau
kuih muih berasaskan tepung gandum akan bertukar menjadi gula apabila diproses
dalam badan. Sekiranya anda terlalu banyak memakan makanan berasaskan kanji, ia
mampu meningkatkan gula dalam darah dengan mendadak.
Terdapat dua jenis makanan berkanji; Kanji kompleks dan Kanji
halus. Nasi putih dan roti putih dikenali sebagai kanji halus yang begitu mudah
bertukar menjadi gula semasa diproses dalam badan. Makanan ini (kanji halus) tidak disarankan
dimakan terlalu banyak oleh pesakit diabetis kerana ia mampu meningkatkan kadar
gula dengan sangat cepat.
Sebaliknya, anda boleh memakan nasi perang dan roti gandum
penuh yang merupakan kanji kompleks. Makanan ini mengambil masa untuk diproses
menjadi gula. Justeru, mampu menstabilkan kadar gula dalam darah daripada
mencanak naik dengan mendadak. Beras Ponni yang tidak mengandungi kanji juga
antara pilihan yang baik.
![]() |
Contoh makanan berkanji |
3. Minum susu hanya satu gelas (lebih
kurang satu mug) pada satu masa
Susu sememangnya berkhasiat kerana kaya dengan kalsium dan ia
amat penting untuk diminum semasa mengandung. Namun begitu, susu juga
mengandungi karbohidrat. Minum terlalu banyak pada satu masa boleh meningkatkan
kadar gula dalam darah dengan cepat.
4. Hadkan pengambilan buah-buahan
Buah juga makanan berkhasiat tetapi tinggi dengan gula. Anda
boleh makan 1 hingga 3 sajian setiap hari tapi jangan makan sekaligus dalam
satu masa. Satu sajian bermaksud sebiji bagi buah kecil (epal, pisang, oren) dan
sepotong bagi buah besar (tembikai, tembikai susu, betik), 8 biji anggur, 5
biji rambutan dan banyak lagi
5. Kurangkan makanan manis dan pencuci
mulut
Kek, kuih, gula-gula dan pastri kebiasaannya mempunyai
kandungan kanji halus yang amat tinggi. Makanan ini juga biasanya tinggi lemak
dan rendah khasiat. Kurangkan juga pengambilan air manis dan minuman
berkarbonat. Selain daripada tips pemakanan sihat diatas, ibu hamil juga perlu
mengamalkan gaya hidup aktif seperti bersenam ringan seperti berjalan kaki,
menaiki tangga atau membuat kerja rumah – sekurang-kurangnya 30 minit setiap
hari.
Apa yang paling penting, dapatkan nasihat daripada doktor dan
pakar pemakanan untuk cadangan pemakanan dan pengambilan ubat yang betul serta
bersesuaian dengan kesihatan anda.
![]() |
Senaman ketika hamil |
Sumber:
http://www.keluargabaru.com
myhealth.gov.my
No comments:
Post a Comment