❀◕ ‿ ◕❀ Selamat Datang Ke Nutrisi Sihat & Cantik ❤ Saya Catherine ❤ Shaklee Independent Distributor ID:944001 ❤ Jika anda inginkan konsultansi berkenaan masalah kesihatan anda, sila hubungi saya ❤ Nak tanya apa2 pun boleh. Saya akan membantu anda sebaiknya ❀◕ ‿ ◕❀

Tuesday 9 August 2016

Jenis Kesilapan Yang Sering Dibuat Ibu Lepas Bersalin. Jangan Lakukan!



Ada banyak perkara yang belum diketahui dengan mahir tentang urusan penjagaan anak. AKibatnya, secara tidak sengaja ada ibu yang melakukan kesilapan yang seharusnya tidak dilakukan.

Sememangnya perubahan status menjadi ibu bukan proses yang mudah. Kebanyakan ibu baru akan mengalami sedikit depresi selepas melahirkan anak. Namun ia bergantung kepada ibu sendiri bagaimana mengendalikan perubahan emosi tersebut.

Banyak hal yang masih belum lengkap dipelajari sebagai ibu dalam soal menguruskan si kecil sehingga kadangkala tanpa sengaja membuat kesilapan yang merugikan ibu dan bayi sendiri. Apakah dia kesilapan tersebut?

1. Ibu Tak Cukup Tidur

Ini masalah normal berlaku kepada ramai ibu yang baru mendapat bayi. Sebulan pertama kelahiran bayi adakalanya dianggap masa paling mencabar bagi kebanyakan pasangan.

Tak cukup tidur kerana menjaga si kecil bukan alasan untuk ibu sampai tidak tidur langsung. Jangan abaikan kesihatan anda! Bayi memang insan yang sangat memerlukan perhatian ibu tetapi ibu juga mesti menjaga kesihatan diri.

Oleh itu sentiasa bekerjasama dengan suami untuk melakukan sistem giliran menjaga si manja.  Pada waktu malam, berbahagilah tugas untuk menguruskan si manja ketika dia bangun menangis dan meragam. Jangan hanya ibu sahaja yang menguruskan segalanya berseorangan.

Ibu juga perlu 'bijak' curi masa untuk melelapkan mata seketika dan berehat pada waktu siang terutama semasa si kecil sedang lena tidur.

2. Tiada Waktu

Sebelum bayi lahir, tentu anda tidak terbayang situasnya kan? Sudah tentu anda berfikir masih boleh ada banyak waktu untuk membuat urusan sendiri ketika si kecil tidur. Hakikatnya sama sekali tidak seperti yang dibayangkan.

Kalau sebelum ini mungkin anda cuba menafikan apa yang diceritakan oleh kawan-kawan yang sudah berpengalaman, maka selepas melalui pengalaman sendiri barulah anda bersetuju. Maka sebaiknya jangan merancang perkara yang anda belum tahu situasi sebenarnya kerana ia boleh membuatkan anda bertambah bingung dan keliru.

Lalui sendiri pengalaman bergelar ibu, kemudian anda akan tahu cara sendiri mencari waktu untuk melakukan urusan peribadi di antara waktu tidur dan bermain si manja.

3. Beli Semua Barang

Ia sememangnya normal bagi pasangan yang baru bergelar ibu bapa untuk memborong semua barangan kelengkapan bayi mereka. Tetapi jangan sampai terlalu obses sehingga anda membeli barangan yang tidak perlu dan akhirnya hanya merugikan kewangan anda sedangkan barangan tersebut akhirnya tidak digunakan.

Untuk mengetahui apa yang perlu menjadi keutamaan ketika membeli barangan bayi, lakukan kaji selidik dengan bertanyakan dengan ibu bapa, saudara mara dan kawan-kawan yang sudah mempunyai anak dan juga blog dan facebook.

Kawal keinginan anda untuk membeli banyak pakaian dan aksesori ketika anak anda masih kecil kerana pertumbuhan mereka sangat cepat dan ia boleh membuatkan banyak koleksi pakaian tersebut tidak sempat dipakai dalam waktu yang lama.

4. Percaya Semua Yang DiBeritahu

Walaupun anda belum berpengalaman mempunyai anak tetapi tidak semestinya percaya apa juga yang diberitahu oleh orang lain tentang hal penjagaan anak. Tidak semua nasihat daripada mereka yang sudah ada pengalaman sesuai untuk digunakan kepada anak anda.

Tidak salah mendengar pendapat dan nasihat orang lain tetapi sebagai ibu bapa anda sendiri lebih memahami dan mengenali anak sendiri. Sudah tentu anda mahu yang terbaik untuk si manja kan?

5. Terlalu Risau

Anda risau bila bayi asyik menangis, bayi tidak tidur dan juga tidak buang air besar setiap hari. Apapun yang dilakukan oleh bayi anda anggap sebagai tidak normal, dan terus rasa risau.

Padahal, ia adalah perkara normal kerana bayi baru lahir masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan dirinya. Sekiranya anda rasa ada yang pelik tentang bayi, bertenangnya, perhatikan gejalanya dengan lebih teliti dan bawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut bagi membuktikan kerisauan anda betul.

Tetapi sebaiknya, jika ia hal normal tumbesaran bayi baru lahir, janganlah terlalu risau sangat.

6. Mengabaikan Pasangan

Akibat terlalu fokus menguruskan bayi baru lahir membuatkan sesetengah isteri mengabaikan suaminya. Ia sama sekali tidak bagus untuk  keharmonian rumahtangga. Alasan suami boleh menguruskan dirinya sendiri tidak boleh digunakan.

Anda perlu faham, bahawa menjaga hubungan dengan suami sangat penting! Fahami hati suami kerana dia juga tetap memerlukan perhatian. Jangan sampai suami mencemburui bayi kerana perhatian isteri yang terlalu fokus kepada bayi. Sebaiknya usahakan untuk meluangkan masa berduaan dengan suami. Jangan lupa untuk tetap melakukan hubungan intim agar kemesraan anda berdua tetap terjaga.

Menimang cahaya mata memang saat yang paling indah dalam hidup pasangan suami isteri. Namun kerjasama dan tolak ansur dalam menghadapi pengalaman baru sangat perlu.

Kredit: Pa&Ma

No comments:

Post a Comment